BANGUNLAH

BANGUNLAH

Wednesday, 4 November 2015

LANGKAH MENINGKATKAN PAHALA

Antara langkah-langkah yang boleh kita lakukan bagi meningkatkan pahala ialah

1) Melakukan amalan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Ikhlas adalah salah satu daripada amalan hati. Maksud ikhlas ialah melakukan sesuatu semata-mata mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian atau lari dari kejian, mengikut hawa nafsu tersembunyi atau lain-lain yang bukan kerana Pencipta. Orang yang ikhlas melakukan kerja-kerja semata-mata untuk taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah swt).

Firman Allah s.w.t:" Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar " (Surah al-Bayyinah: 5). (Teruskan membaca, sila klik di sini)







2) Bersungguh-sungguh mendalami ilmu syariah untuk kita mengetahui suruhan dan larangan Allah.
Sesungguhnya menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap manusia. Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, "Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam dan akan didoakan keampunan oleh semua hidupan termasuk ikan-ikan di lautan."
"Apa pula hukum menuntut ilmu dalam bidang syariah atau agama?" Ia bersifat fardhu kifayah jika sudah ada segelintir kumpulan manusia menuntutnya mewakili seluruh umat Islam di suatu tempat. Alhamdulillah, semuanya terlepas dari satu perkara dosa. Kemungkaran bukan sahaja sekadar melakukan dosa kecil atau besar secara jelas, malah golongan penuntut ilmu juga berdosa jika dia tidak belajar bersungguh-sungguh.




3) Beriltizam dalam melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh bukannya sambil lewa.
Dalam melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh, seseorang itu perlu mempunyai sifat itqan dan ihsan. Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah mafhumnya, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (baik, sempurna dan teliti)” (Riwayat al-Baihaqi).

Selain itu, Rasulullah menyatakan dalam hadis bahawa manusia yang beribadah perlu mempunyai sifat ihsan:"Ihsan itu ialah kamu beribadat kepada Allah seperti kamu melihat Allah dan sekiranya tidak mampu maka sesungguhnya Allah melihat kamu". Sifat Ihsan akan dapat menjadikan ibadat yang dilakukan dapat dihayati, menimbulkan kekhusyukan dan penumpuan ibadah hanya kepada Allah dan untuk Allah S.w.t semata-mata.  Sifat ikhlas dalam ibadah atau kerja-kerja yang dilakukan dapat diukur dan dirasai sendiri apabila perasaan dan niat-niat yang lain daripada Allah tidak wujud.



4) Berusaha memastikan setiap kebaikan yang dilakukan paling berkualiti.
Sesungguh Islam adalah agama yang sempuma kerana ia mencakupi segenap aspek kehidupan. Dalam Islam seluruh pekerjaan itu adalah dikira ibadah sekiranya memenuhi segala peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Tidak seperti dalam kebanyakkan agama di dunia yang menganggap hanya penyembahan dalam bentuk ritual sahaja dikira ibadah, sedangkan pekerjaan- pekerjaan yang lain tidaklah dikira sebagai ibadah.

Bagi ajaran Islam ibadah khusus dan umum memberi kesan yang sangat besar kepada kehidupan seseorang muslim, samaada di dunia mahu pun akhirat. Daripada perkara-perkara yang kecil seperti makan, memberi salam, perhubungan silaturrahim dan perkara-perkara yang besar-besar seperti perdagangan, pentadbiran kenegaraan dan perhubungan antarabangsa, jika dilaksanakan seperti yang dikehendaki dalam Islam, ia adalah ibadah kita kepada Allah. Segala kegiatan seharian kita yang berlandaskan syariat adalah dikira sebagai ibadah dan kita hendaklah berusaha memastikan setiap perkara yang dilakukan mestilah berkualiti.



5) Menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid, surau atau di mana-mana sahaja secara berterusan.
Telah berkata Al-Fakih Abu Laits As-Samarqandi di dalam kitab Tanbihul Ghafilin:
"Barangsiapa datang kepada orang alim lalu hadir dalam majlisnya tetapi tidak mampu mengingati atau menghafal pelajaran tersebut maka baginya 7 macam kemuliaan":
1- Dia akan mendapat kemuliaan orang-orang yang belajar agama.
2- Selama dia duduk di dalam majlis tersebut, dia akan tertahan daripada berbuat dosa dan kesalahan.
3- Apabila dia keluar daripada rumahnya turun rahmat ke atasnya.
4- Apabila duduk dia di sisi orang alim tersebut maka turun rahmat ke atas penuntut-penuntut ilmu, maka menimpa dia juga dengan berkat majlis tersebut.
5- Selama dia mendengar ilmu tersebut nescaya dituliskan baginya kebajikan.
6- Malaikat menaung ke atas mereka dengan sayap-sayapnya kerana redha dengan majlis tersebut padahal dia ada di dalamnya.
7- Tiap-tiap kali kakinya melangkah dikifarahkan segala dosa-dosanya dan dinaikkan beberapa darjat dan ditambah segala kebajikan.
Maka jelas sekali, terdapat banyak kebaikan apabila kita menghadiri majlis ilmu, bukan sahaja untuk pertambahan ilmu malah diberikan banyak kebaikan buat kita oleh Allah s.w.t.




6) Berdamping dengan teman-teman yang cinta dan suka melakukan kebaikan.
Berdamping dengan ulama dan orang-orang soleh adalah suatu perkara yang perlu kita tekankan dalam kehidupan kita seharian. Walau di mana kita berada, carilah orang-orang soleh untuk kita dampingi. Orang-orang soleh akan menjadi cermin bagi diri kita. Beruntunglah sesiapa yang bersama mereka, rugilah bagi mereka yang menjauhi mereka, dan celakalah bagi mereka yang memusuhi orang-orang soleh di sisi Allah.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran: “Wahai mereka yang beriman! Takutilah akan Allah dan bersertalah dengan orang-orang yang benar lagi taat.” (Surah At-Taubat:119). Sabda Nabi s.a.w: Lokman Al-Hakim menyuruh anaknya dengan perkataan ini, “Dampinglah diri dengan orang-orang alim dan dengarlah baik-baik akan perkataan mereka, kerana dengannyalah Allah menghidupkan sanubari yang telah mati sepertimana Allah menghidupkan bumi yang gersang dengan hujan.”


7) Berjihad menegakkan syariah Islam bagi mengangkat tamadun manusia.
Setiap orang Islam kena berjihad. Berjihad bukan hanya di medan perang ataupun medan pilihanraya tetapi juga medan ilmu. Jihad itu sendiri dari segi bahasa bermaksud "bersungguh-sungguh". Jihad dengan belajar bersungguh-sungguh, mendalami ilmu sebaik mungkin dapat memberi kesan yang baik kepada tamadun manusia. Jelasnya istilah 'Tamadun' ialah keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mancapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.

Dunia sebenarnya telah dikuasai oleh tamadun Islam selama lebih dari sepuluh abad, iaitu bermula dari abad ke - 7 hingga ke - 18 M yang mana tamadun Islam diklasifikasikan sebagai sebuah tamadun yang didirikan oleh masyarakat Muslim dari abad ke - 7 M hingga kini. Ia merupakan sebuah tamadun yang bersepadu yang begitu menitikberatkan soal kemajuan kerohanian dan juga kemajuan material untuk pembangunan umat Islam. (Teruskan membaca, sila klik disini)



No comments:

Post a Comment